Mitra Global CMS Mitra Global CMS Mitra Global CMS
 
MPM
Warkah Presiden PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 11 August 2008 20:05


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pertama dan selamanya marilah kita sama-sama merafa’kan kesyukuran kita ke hadrat Allah s.w.t. di atas segala kurniaanNYA, dan yang paling penting syukur kita kerana masih diberi peluang untuk merasai nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Sebelum saya memberikan penerangan mengenai dasar MPM sesi 2009/2010, saya mahu membawa sahabat mahasiswa sekalian mengenal seorang sahabat nabi iaitu Abu Ubaidah Al-Jarrah. Beliau adalah diantara sahabat-sahabat Nabi yang terawal memeluk Islam. Dia juga merupakan antara 10 sahabat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang dijamin masuk syurga. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Sesungguhnya dalam setiap kaum terdapat orang yang jujur. Orang yang jujur di kalangan umatku adalah Abu Ubaidah Al-Jarrah”. Dalam hadith yang lain Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Tiap-tiap umat, ada orang yang memegang amanah. Pemegang amanah umat ini adalah Abu Ubaidah Al-Jarrah”. Berdasarkan hadis yang telah kita dengari tadi, saya ingin menyeru kepada hadirin sekalian supaya marilah kita bersama-sama bercita-cita mahu menjadi orang yang paling amanah dan jujur seperti Abu Ubaidah Al-Jarrah. Sifat jujur dan amanah inilah yang akan menjadi inspirasi perjuangan kami pada sesi pemerintahan MPM kali ini.

Majlis Perwakilan Mahasiswa 2009/2010 telah meletakkkan empat dasar utama sebagai halatuju perjuangan. Dasar tersebut adalah Bi’ah Solehah, Kebajikan, Kesatuan dan Intelektual. Dasar Bi’ah Solehah akan dilaksanakan dengan berpandukan kepada Misi yang Pertama iaitu melaksanakan pratikal Amal Islami dengan merakyatkan tugas pembentukkan Bi’ah Solehah dalam kalangan masyarakat kampus bagi mewujudkan kondisi Islamik yang bersifat seranta. Seterusnya Dasar Kebajikan yang mana akan dilaksanakan dengan merujuk kepada Misi yang Kedua iaitu menyuburkan pangamalan takaful (tolong-menolong) dalam kalangan masyarakat kampus melalui aktiviti kebajikan yang berpanjangan dan bersifat merata sehingga melibatkan keseluruhan warga kampus.

Dasar yang ketiga iaitu Dasar Kesatuan yang akan dijayakan dengan berpandukan kepada Misi yang Ketiga iaitu menggerakkan inisiatif kearah perpaduan melalui persatuan dan kelab dengan penglibatan mahasiswa KUIS secara kolektif dalam setiap aktiviti kemahasiswaan. Manakala dasar yang terakhir iaitu Dasar Intelektual yang akan dicapai dengan merujuk kepada Misi yang Keempat iaitu mewujudkan suasana ilmiah dengan aktiviti intelektual yang mencakupi aspek kefahaman Islam terkini, tuntutan isu semasa dan kecemerlangan akademik sejajar dengan matlamat untuk melahirkan professional mukmin.

Selain itu, MPM pada kali ini juga akan mendokong Visi dan Misi KUIS secara konsisten dengan harmoni dan sifat kerjasama. “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Kami merupakan kepimpinan muda yang menimba pengalaman. Kami akan berusaha semaksima mungkin untuk melaksanakan segala dasar yang kami kemukakan. Kami amat memerlukan bimbingan dan sokongan daripada semua pihak sepanjang kepimpinan kami sesi ini. Justeru itu, kami berharap kerjasama semua pihak agar kita sama-sama membantu untuk merealisasikan keempat-empat dasar kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa 2009/2010 bagi memimpin KUIS ke arah pencapaian yang lebih gemilang.

Akhir kalam, saya menyeru kepada semua anggota Majlis Perwakilan Mahasiswa untuk sama-sama kita berusaha kearah kecemerlangan dan keredhaan Allah SWT. Sekian, terima kasih.

 

 

 

Mohd Wafi Zuhdi Bin Ahamad

Presiden

Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM)

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Last Updated on Sunday, 16 May 2010 07:34
 


 
Mitra Global CMS Mitra Global CMS Mitra Global CMS